Dapat dilihat kebanyakan individu yang menyertai menyertai program perniagaan mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) berjaya mengubah nasib diri.
Program mesin layan diri IPR ini dilancarkan pada Mac 2023 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan kerajaan menyasarkan mesin berkenaan dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah IPR INSAN pada tahun ini.
Memetik Bernama, seorang peniaga nasi kukus tidak menyangka keputusan menyertai IPR berjaya membantu dirinya mendapatkan jualan melebihi RM14,000 sebulan.
Kini Mohd Hermi Shahuddin tidak lagi mengalami masalah pendapatan tidak menentu selepas enyertai program IPR kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).
Lelaki berusia 47 tahun itu berkongsi bagaimana dia sebelum ini hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan membuka gerai di tepi jalan di kawasan Fasa 3 Bandar Puncak Alam.
Malah bapa kepada empat anak perempuan itu turut mengambil tempahan makanan untuk majlis keraian di kawasan sekitar.
Pada sama sama, dia turut berkongsi nasib meniaga sebelum ini apabila ada hari perniagaan kurang berjalan lancar dan banyak makanan yang tak terjual.
Ditambah pula faktor terpaksa tutup kedai demi tanggungjawab membawa seorang anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) bertemu doktor.
Segala kerja keras yang dilakukan sebelum ini hanya mampu meraih jualan tidak sampai RM8,000 sebulan.
“Perniagaan kami sebelum ini memang banyak cabaran dengan pendapatan boleh terjejas bila-bila masa sahaja.
“Ada ketika, makanan langsung tidak boleh dijual, terutama ketika hujan lebat menyebabkan modal dan makanan pada hari itu kadangkala ‘hangus’ begitu sahaja.
“Saya juga mempunyai anak OKU berusia sembilan tahun yang masih memerlukan perhatian dan jagaan penuh.
“Jika ada janji temu dengan doktor, memang saya dan isteri tak boleh berniaga, jadi tidak adalah pendapatan untuk kami pada hari itu,” katanya.
Tidak hanya itu penjual juga tidak mengeluarkan modal untuk penyediaan makanan dan bayaran sewa kerana kos itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bagi tempoh dua tahun.
Antara makanan dijual menerusi mesin layan diri itu adalah nasi lemak ayam goreng, nasi lemak pandan, roti kebab daging, roti sosej gulung, set bebola daging, ‘popcorn’ ayam dan nasi ayam pedas.
“Semua makanan ini dijual pada harga RM2 hingga RM5. Bagi mengekalkan kualiti dan rasa, menu akan ditukar atau ditambah setiap enam jam dalam tempoh sehari.
“Ini bermakna program IPR bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan malah memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli makanan siap masak pada harga berpatutan dan murah,” tambahnya.
Mohd Hermi dan isteri, Fadilah Hanum Abu, 47, mengusahakan perniagaan makanan dari mesin layan diri di Kolej Angsana 2, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) kampus Puncak Alam.
Baca juga: “Husnuzon je lah…,”, tular video ‘tuan guru’ renjis air jampi pada kereta undang reaksi netizen