Tiada lagi orang Umno yang ‘ganas’ di Manjoi

Pakatan Harapan Perak dalam aksi protes yang disertai majoriti anak muda bantah harga minyak September tahun lalu.

Asmuni Awi

Pakatan Harapan (PH) di Perak khususnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi diyakini mendapat sokongan majoriti pengundi lantaran senario politik semasa yang jauh berbeza berbanding pilihan raya lalu.

Calon AMANAH Dun Manjoi, Asmuni Awi memberitahu, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada lima tahun lalu menyaksikan Umno di Manjoi memiliki ramai penyokong tegar yang ‘ganas’.

Walau bagaimanapun, kelompok terbabit yang begitu memusuhi PH ketika itu sudah tidak ada lagi sekarang untuk memberi ancaman kepada PH.

“Kalau kita lihat pilihan raya lepas, yang ganas di Manjoi dulu adalah orang Umno. Sekarang sejak wujud Bersatu, tidak nampak lagi kelibat mereka dalam Umno,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Pengerusi AMANAH Perak itu, Bersatu sebaliknya menampung mereka yang asalnya penyokong tegar Umno tetapi tidak dapat menerima kepimpinan korup Datuk Seri Najib Razak.

“Sekarang ramai bekas Umno sudah berhijrah kepada Bersatu. Umno mengalami perpecahan akar umbi yang tidak lagi terbendung. Sekarang ini, Umno sudah kehilangan orang kuat mereka sejak tertubuhnya Bersatu.

“Mereka pula bagus boleh berkerjasama dengan rakan-rakan dalam komponen PH. Jadi, saya nampak setakat ini peluang untuk PH menang di Manjoi ini adalah cerah.

“Bukan saja di Manjoi bahkan di Perak kerana munculnya gelombang perubahan rata-rata pengundi Melayu yang dulunya menyokong Umno,” katanya.

Peta pilihan raya Perak

Pada masa sama, jelas peguam tersebut, segmen pengundi muda juga dilihat sebagai penyumbang PH di N.23 Manjoi yang terletak di bawah Parlimen Tambun itu.

“Pengundi muda ini kebanyakannya memainkan peranan efektif yang bertindak sebagai ejen kesedaran bagi ahli keluarga, rakan sebaya dan masyarakat tempatan untuk menyokong PH.

“Tidak hairanlah, apa yang kita lihat Umno Perak pada masa ini tidak terkecuali di Manjoi hanya tinggal pengundi saluran satu sahaja.

“Paling penting, kelompok pengundi muda yang peka isu nasional juga terkesan dengan masalah ekonomi semasa yang rata-rata ditanggung oleh mereka,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Asmuni mengakui persempadanan semula kawasan pilihan raya memberi kesan kepada komposisi pengundi di Manjoi.

Bendahari Agung AMANAH berkenaan memberitahu jumlah pengundi Melayu sudah meningkat kepada 70 peratus berbanding sekitar 65 peratus pada PRU13.

Asmuni Awi ketika menziarahi penduduk Kg Tengku Hussein di Manjoi.

“Bagi Dun Manjoi, pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya lepas kira-kira 22 peratus tetapi sekarang pengundi Cina hanya 16.5 peratus.

“Dari segi komposisi kaum, nampak seperti tidak menyebelahi PH tetapi kalau dilihat pada perpecahan dalam Umno dan pada masa sama wujudnya Bersatu, saya nampak potensi AMANAH di Manjoi untuk menang tetap ada.

“Perpaduan antara komponen PH Perak juga amat baik. Kita yakin PH di negeri ini akan menang walaupun ada antaranya kerusi yang kita tandingi mempunyai peratusan pengundi Melayu yang tinggi,” tambahnya.

Untuk rekod, N.23 Manjoi yang disandang BN memiliki 50,812 pemilih berdaftar bagi PRU14 ini.

Pada PRU13, Asmuni yang ketika itu bersama Pas tewas kepada Ziad Zainal Abidin hanya dengan majoriti 132 undi.

7.3
OVERALL SCORE
3 user votes x 9.7
CATEGORIES