Tiada lagi pemimpin PH, aktivis disekat masuk Sabah

Tiada lagi pemimpin PH, aktivis disekat masuk Sabah

Sidang media pertama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyaksikan khabar baik buat pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan aktivis dari Semenanjung yang disekat memasuki negeri tersebut.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu mengarahkan larangan memasuki Sabah terhadap mereka terbabit oleh kerajaan BN negeri sebelum ini ditarik balik.

Menurutnya, keputusan tersebut membabitkan semua pemimpin yang pernah dikenakan tindakan itu oleh Jabatan Imigresen negeri, termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta aktivis, Datuk S Ambiga dan Maria Chin Abdullah.

Shafie memaklumkan hal tersebut selepas memulakan tugas Ketua Menteri di pejabat Ketua Menteri Sabah di Tingkat 32, bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu, semalam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kerajaan negeri juga menyerahkan kepada Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan jika perlu menghalang mana-mana individu atau pemimpin berkaitan daripada meninggalkan Sabah.

“Jika orang dari luar boleh dihalang memasuki negeri ini kenapa tidak orang yang dari negeri ini juga boleh dihalang keluar,” jawabnya kepada pemberita berkaitan siasatan salah laku yang mungkin dilakukan terhadap kerajaan sebelum ini.

Kepimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman banyak mengenakan sekatan kemasukan pemimpin PKR dan DAP selain aktivis masyarakat ke negeri tersebut.

Tindakan tersebut dilihat sebagai menyalahguna kuasa imigresen untuk menentang pembangkang ketika itu memandangkan tiada alasan munasabah diberi di sebalik larangan berkenaan.

Turut tidak dibenarkan memasuki Sabah sebelum ini adalah Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang kini masing-masing merupakan Ahli Parlimen Seputeh dan Damansara.

Selain Sabah, Sarawak juga mengenakan sekatan sama. Menjelang PRU-14 lalu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dilarang memasuki Sarawak, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 9.30 pagi, 4 April lalu.

Beliau yang kini Menteri Pertahanan diarah menaiki penerbangan seterusnya untuk pulang sekali gus menjejaskan jadual mesyuarat dengan pemimpin AMANAH Sarawak bagi membincangkan persiapan PRU-14.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0