Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

Sungai Ulu Benut di Simpang Renggam yang tercemar akibat kesan sisa daripada tapak pelupusan sampah berhampiran, pada Mac lepas telah pun mula menunjukkan perubahan positif semenjak pihak berkuasa bertindak menutup tapak pelupusan berkenaan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata kesan pencemaran di sungai itu tidak lagi kelihatan ketika ini dan kualiti air sungai juga telah kembali pulih dan selamat untuk digunakan penduduk setempat.

“Keupayaan pihak berkuasa untuk mengatasi pencemaran itu turut telah membantu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan Simpang Renggam dan sekitarnya yang sering terjejas sebelum ini,” kata beliau dalam kenyataan malam tadi.

Maszlee yang juga Menteri Pendidikan berkata sebagai pelan masa depan, pihaknya (Pejabat Ahli Parlimen Simpang Renggam) bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Johor akan merangka perancangan yang menyeluruh untuk sungai tersebut iaitu dengan memasukkannya dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2020.

Ini berikutan Sungai Ulu Benut, katanya, mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan.

— BERNAMA