Malaysia Dateline

Tiada lagi pesakit positif COVID-19 di Hospital Permai JB

Pasangan suami isteri warga China menjadi pesakit terakhir yang meninggalkan Hospital Permai Johor Bahru selepas disahkan sembuh dari jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang petang semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, pesakit tersebut adalah kes ketujuh (suami) dan kelapan (isteri) yang disahkan sembuh selepas keputusan melalui ujian ulangan dua kali didapati negatif.

Beliau dalam hantaran Facebooknya semalam turut berkongsi gambar pasangan tersebut bersama kakitangan Hospital Permai dengan kapsyen “A picture is worth a thousand words”

“Satu saat yang ceria dan gembira untuk kes Nombor tujuh dan isterinya (kes nombor lapan) yang dibenarkan keluar wad petang ini dari Hospital Permai JB,” tulisnya.

Pada masa sama, beliau melalui postingnya itu turut menzahirkan penghargaan kepada kerja keras semua kakitangan Kementerian Kesihatan.

“Terima kasih kepada semua kakitangan KKM iaitu Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Dr Masliza Zaid, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Aman Rabu dan pasukan kesihatan awamnya, Pakar Perubatan dan Jururawat.

“Tidak dilupakan juga pembersih Medivest yang dengan penuh keberanian dan cermat membersihkan bilik pengasingan dan bilik mandi.

“Tiada lagi pesakit positif di Johor Baru. Alhamdulilah dan Tuhan memberkati kita semua,” katanya.

Dengan itu, jumlah keseluruhan kes positif sebelum ini yang sudah dibenarkan pulang dari wad setakat ini ialah 13.

Sehingga jam 6 petang semalam, tiada kes baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan hingga kini kekal sebanyak 22.

Setakat hari ini juga, seramai 583 pesakit bawah pemantauan (PUI) dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan.

Manakala terdapat 37 kes masih menunggu keputusan makmal.