Tiada lagi runding terus elak projek tergendala, tegas Dr Dzulkefly

Tiada lagi runding terus elak projek tergendala, tegas Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Hospital Rembau

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hendaklah memastikan pemberian projek kepada kontraktor mestilah berdasarkan prestasi (track record) dan keupayaan kewangan yang kukuh, supaya projek pembangunan di kementerian itu tidak tergendala.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata, masih ada 23 projek melibatkan klinik dan hospital yang masih lagi berada dalam ‘zon merah’, yang telah diberikan beberapa kali lanjutan masa (EOT).

“Amaran juga telah dikeluarkan oleh pihak pelaksana, JKR dan ada juga yang ditamatkan kontrak mereka.

“Saya tegaskan supaya kontrak tidak lagi diberikan secara runding terus kerana telah banyak terbukti syarikat-syarikat ini gagal menyiapkan projek,” katanya.

Dalam pentadbiran kerajaan baru, katanya, kementerian perlu dipastikan tidak berulang segala kelemahan dan kepincangan tadbir-urus seperti ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Hospital Rembau pada 29 Jun bagi meninjau status perkembangan pembinaan hospital berkenaan.

Projek pembinaan hospital yang bermula pada September 2013 itu bakal memuatkan 76 katil dan ia sepatutnya siap pada September 2016 dengan kos asal berjumlah RM96 juta.

Bagaimanapun projek tersebut telah mengalami kelewatan dan diberikan tiga kali EOT, keadaan ini berpunca daripada kontraktor utama sendiri, SEIE Engineering Sdn Bhd bersabitan isu reka-bentuk, lukisan pembinaan dan landskap serta juga kerja sub-kontraktor (NSC) sekaligus menyebabkan peningkatan kos kepada RM104 juta.

“Dengan kemajuan projek kini berada pada tahap 80.77 peratus, kami menjangka urusan ‘testing and commissioning’ dapat disiapkan dalam suku pertama tahun depan, walaupun pihak kontraktor berazam menyiapkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0