Pengumuman luar jangka kerajaan Indonesia yang mula membuat sekatan dengan tidak membenarkan jual beli melalui TikTok Shop benar-benar mengejutkan rakyatnya.
Mengikut laporan yang dinyatakan, para peniaga di Indonesia tidak dibenarkan berdagang melalui di bagi mengurangkan inflasi yang terus melanda negara tersebut.
Aplikasi TikTok juga dilapor menggantung perkhidmatan beli-belah dalam taliannya untuk mematuhi peraturan baharu dilaksanakan kerajaan, mulai 5 petang pada 4 Oktober lalu.
TikTok dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan itu.
“Keutamaan kami untuk terus mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan.
“Oleh itu, kami tidak menjalankan operasi transaksi e-dagang di TikTok Shop Indonesia,” katanya.
Indonesia ialah negara pertama yang merintis perkhidmatan e-dagang aplikasi pada 2021, dan menjadi salah satu pasaran terbesar untuk TikTok Shop.
Minggu lalu, Indonesia mengumumkan peraturan yang akan memaksa TikTok memisahkan ciri beli-belahnya daripada perkhidmatan perkongsian video popular di negara itu.
Peraturan itu dilaksanakan kerajaan bertujuan membantu melindungi peruncit fizikal dan dalam talian tempatan.
Menteri perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, langkah itu bagi memastikan peranan e-dagang dipisahkan dari media sosial.
Katanya, platform media sosial diberikan masa seminggu untuk mematuhi peraturan baharu atau berisiko kehilangan lesen untuk beroperasi di negara itu, jika ingkar dengan peraturan berkenaan.
Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo, bulan lalu, yang menyatakan kebimbangannya jika tiada peraturan khusus untuk mengawal aktiviti e-dagang.
Peruncitan dalam talian di Indonesia popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
TikTok Shop meluaskan pasarannya sejak dilancarkan dua tahun lalu ke dalam pasaran beli-belah dalam talian Indonesia yang didominasi platform seperti Tokopedia, Shopee dan Lazada.
Negara dengan lebih 278 juta orang ini, mempunyai 125 juta pengguna TikTok termasuk enam juta peniaga dan jutaan lagi pencipta yang memperoleh wang menggunakan TikTok Shop untuk mempromosikan barangan.
Peraturan baharu itu menjadi satu lagi halangan kepada TikTok, yang mendapat perhatian di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom, selepas Parlimen di negara berkenaan menguatkuasakan larangan untuk mengehadkan penggunaan platform itu atas alasan keselamatan.