Sudah kelihatan ada sinar dalam samar.
“Kami disini dah semakin tenang”
“Sama di Hospital Selayang, ED makin ok”
“Betul. Dapat dirasai. Naik ke wad lebih cepat dari ED”
Inilah antara kata-kata dari barisan hadapan di Lembah Klang.
Jika sebelum ini, keadaan di Jabatan Kecemasan tidak ubah seperti tongkang pecah. Keadaan seperti dilanda tsunami.
Pesakit terlalu ramai hingga tidak cukup katil. Ada yang meninggal dunia atas kerusi roda kerana tidak sempat diberi rawatan. Lebih teruk ada yang sampai CPR atas lantai.
Kini, lebih tenang. Jumlah kemasukan pesakit warganegara semakin menurun. Majoriti yang datang adalah warga asing.
Jumlah pesakit positif Covid-19 kategori 1 dan 2 masih ramai tetapi jumlah pesakit kategori 3,4 dan 5 semakin menurun.
Pesakit kategori 3,4 dan 5 semalam sebanyak 676 kes dari 20,670 kes iaitu 3.3 peratus dan 90.4 peratus adalah belum menerima vaksin.
Ini bermakna pesakit kategori 1 dan 2 sebanyak 96.7 peratus. Mereka cuma perlukan pemantauan di PKRC atau wad biasa.
Setakat ini, Labuan telah mencapai imuniti berkelompok (herd imunity) iaitu 88.1 peratus menerima dua dos dan semalam Labuan mencatatkan 0 kes positif. Sangat memberangsangkan!
Namun, perlu diingat, kes kematian dan kes BID masih lagi tinggi. Pesakit di ICU masih penuh.
Ini kerana masih ramai yang belum menerima vaksin terutamanya warga asing dan lambat dapat rawatan.
Dijangkkan kes positif akan capai kemuncak pada pertengahan September dan akan mula menurun sehingga akhir Disember.
Ini bermakna, kadar vaksinasi negara kita berada pada landasan yang betul dan vaksin berkesan.
Kita masih belum menang. Tapi sudah ada sinar kejayaan kelihatan.
Jangan ragu-ragu untuk ambil vaksin dan jaga SOP. Sama-sama kita berdoa dan bertawakal moga pandemik ini berakhir. Amin.