Malaysia Dateline

‘Tiada lagi tuntutan PRU selepas darurat diisytihar’

Tiada lagi sepatutnya ada tuntutan diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) susulan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos depan.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menegaskan semua pihak sebaliknya perlu memberi tumpuan dalam usaha menangani penularan dan impak wabak Covid-19.

“Tidak ada lagi isu dan perdebatan mengenai tuntutan PRU selepas pengisytiharan darurat. Parlimen pun digantung.

“Suhu politik dapat disejukkan untuk tempoh beberapa bulan ini. Yang utama sekarang ialah fokus mencari strategi untuk menangani penularan Covid-19.

“PRU bukan soal utama sebaliknya sama-sama memastikan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan membantu menangani keadaan ekonomi semasa,” katanya di Astro Awani sebentar tadi.

Dalam masa sama, katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak juga perlu akur dengan pelaksanaan darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bagi PRN Sarawak, tempoh penggal berakhir 3 Jun ini, yang lazimnya diadakan setahun sebelum penggal tamat.

“Namun, PRN Sarawak perlu terpaksa akur dengan pelaksanaan darurat,” ujarnya.

Dr Awang Azman turut menekankan pentingnya kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat ini memastikan keadaan ekonomi semasa mampu menarik pelabur luar agar tidak tertumpu pada negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.

“Kerajaan mesti memikirkan usaha menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi secara menyeluruh,” tegasnya lagi.