Tiada lagi wang, Utusan hentikan operasi, lapor The Star

Tiada lagi wang, Utusan hentikan operasi, lapor The Star

Utusan, akhbar Melayu tertua, akan dihentikan operasinya pada hari Rabu (21 Ogos), selepas tempoh ketidakpastian kewangan yang berterusan.

Semua penerbitan di bawah Kumpulan Utusan Melayu Berhad- Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad akan menghentikan semua penerbitan cetak dan dalam talian, seperti dilaporkan The Star hari ini.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ Mohd Taufek Abdul Razak, dipetik berkata Pengerusi Eksekutif Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir mengakui bahawa syarikat itu kini tiada kewangan.

Berita sedih itu diberitahu dalam satu pertemuan yang diadakan bersama wakil kakitangan dengan Kementerian Sumber Manusia pada Isnin.

“Kami diberitahu bahawa syarikat itu tidak mempunyai wang untuk membayar kakitangan atau meneruskan operasi,” kata Taufek.

Keputusan itu dibuat oleh Lembaga Pengarah pada mesyuarat tersebut, dan sumber mengatakan penutupan itu akan dimuktamadkan apabila kumpulan itu dinyahsenaraikan dari Bursa Malaysia.

Kumpulan Utusan tidak membayar gaji mereka sejak Jun. Malah sebelum ini, ia telah berulang kali menangguhkan pembayaran gaji.

Gaji untuk kakitangan eksekutif juga ditangguhkan selama dua bulan, dengan bayaran separa terakhir sebanyak RM2,000 dibayar pada bulan Jun.

Walaupun telah memulakan Skim Pemberhentian sukarela (VSS) yang menyaksikan pengurangan kakitangannya daripada 1,400 kepada 823, walaupun pembayaran VSS telah ditangguhkan.

Utusan Malaysia mula diterbitkan sebagai Utusan Melayu dengan tulisan Jawi pada tahun 1939 di Singapura.

Ia diasaskan oleh Yusof Ishak, yang kemudian menjadi Presiden pertama Singapura, dan Abdul Rahim Kajai, yang dikenali sebagai bapa kewartawanan Melayu.

Pejabatnya dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1959. Versi Utusan Melayu dengan tulisan rumi mula mencetak pada 1 September 1967.