Tiada laluan mudah untuk Skuad Sang Kancil

Tiada laluan mudah untuk Skuad Sang Kancil

Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui tiada laluan mudah untuk pasukannya menghadapi lawan mereka dalam Kumpulan D pada kempen Piala Malaysia, sebaliknya setiap pemain perlu bekerja keras bagi mencari kemenangan.

Beliau berkata, saingan dalam pertandingan itu lebih mencabar kerana tumpuan setiap pasukan akan terarah untuk merebut piala berprestij itu di samping mempertingkatkan prestasi semaksimum mungkin bagi melepasi pusingan seterusnya.

Katanya, pasukan seperti Selangor menunjukkan kebangkitan di pertengahan musim untuk berada di tangga ketiga Liga Super selain PDRM FA yang berjaya melonjakkan kedudukan mereka di tempat ketiga Liga Perdana.

“Selangor memang kita tahu pasukan yang hebat dan ada peningkatan begitu juga PDRM selain Felda United yang tidak boleh dipandang ringan cabaran mereka kerana kita tahu dalam saingan Piala Malaysia setiap pasukan akan bermain mati-matian dan prestasi mereka akan lebih berbeza.

“Walaupun kita ada kekuatan dan kelebihan tersendiri namun ia perlu dimanfaatkan sebaiknya selain menggunakan peluang yang ada untuk mengutip mata penuh kerana ia amat penting dalam saingan di peringkat kumpulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Hang Tuah di sini malam tadi.

Jurulatih berusia 57 tahun itu juga berkata, pasukannya kini giat menjalani latihan bagi mencari ramuan serta penyelesaian terbaik dari segi taktikal dan corak permainan memandangkan hanya empat pemain import sahaja dibenarkan bermain.

Zainal Abidin yang juga pemain kebangsaan era 80-an dan 90-an berkata, persiapan bertemu PDRM dalam aksi sulung 4 Ogos ini juga sedikit terjejas dengan kecederaan dan masalah kesihatan yang dihadapi beberapa pemain namun beliau yakin situasi itu kembali pulih menjelang aksi pertama nanti.

“Cuma masalah kecederaan dialami penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sedikit meresahkan dan kita menunggu kebenaran daripada doktor untuk memberi lampu hijau sekiranya dia benar-benar pulih.

“Apa pun yang kita pasti, setiap pemain yang diturunkan pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merebut piala terakhir bagi musim ini dan sudah tentu kita mahu mencari kejayaan untuk pasukan,” katanya.- BERNAMA