Malaysia Dateline

Tiada langsung bayaran dibuat bagi terowong bawah dasar laut

Tiada bayaran yang dibuat bagi terowong bawah dasar laut kerana kajian kebolehlaksanaannya belum lagi diterima serta diluluskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, kos bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi tiga lebuh raya dan terowong bawah dasar laut berjumlah RM305 juta.

“Namun begitu hanya sejumlah RM208 juta sahaja telah pun dibayar melalui kaedah ‘exchange land’ kepada kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) untuk kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi tiga lebuh raya sahaja.

” Tidak ada langsung bayaran yang dibuat bagi terowong bawah dasar laut dan status terkini kajian kebolehlaksanaan telah pun siap dan ianya akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setelah segala ulasan daripada agensi teknikal termasuk agensi-agensi Persekutuan diterima.

“Walaupun telah banyak kali penjelasan diberikan oleh kerajaan negeri mengenai projek tersebut yang telah dianugerahkan melalui tender terbuka pada tahun 2012 secara terperinci, masih lagi wujud banyak penyelewengan fakta oleh pihak tidak bertanggungjawab, ” tegasnya melalui laman facebook beliau.

Tambahnya lagi, namun begitu kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai link ketiga, tetapi ia belum lagi dipertimbangkan untuk pelaksanaan.