Malaysia Dateline

Tiada langsung pendapatan, nelayan mengadu terpaksa curi-curi turun ke laut

Nelayan pesisir pantai di Pulau Indah, Klang mengadu segelintir daripada mereka terpaksa curi-curi turun ke laut semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran sumber pendapatan yang diperoleh mereka sepanjang bulan ini sudah ‘kering’.

Mereka mendakwa, pendapatan yang dahulunya sekitar RM800 sebulan tidak mampu diperoleh lagi dan terpaksa mengharapkan bantuan kerajaan.

Ridzuan Ahmad Razali

Muhamad Ridzuan Ahmad Razali, 30, berkata, apabila para nelayan ditahan dan diusir pihak berkuasa yang menjaga perairan, mereka terpaksa akur dan naik semula ke darat.

“Sekarang susah. Pendapatan kami tidak semuanya datang dari khidmat hantar pelancong ke rumah rakit.

“Separuhnya ada dari aktiviti nelayan. Jadi, apabila aktiviti nelayan terjejas, tidak dapatlah hasil biasa.

“Selalu petang-petang orang balik bawa ikan pukul 6 petang. Di situ mudahlah orang nak beli ikan. Tapi bila macam ini, terpaksa pergi curi-curi.

“Kalau Maritim atau pihak berkuasa halau balik, kita terpaksa baliklah. Tak boleh buat apa,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline baru-baru ini.

Menurut Ridzuan, nelayan tempatan juga merayu kepada kerajaan agar sekurang-kurangnya memberikan kelonggaran satu sampan satu nelayan agar mereka boleh mencari hasil pendapatan sendiri.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih menimbulkan kebimbangan kerana nelayan yang sudah berusia berisiko pitam dan hilang di laut tanpa dapat dijejak sekiranya menangkap ikan seorang diri.

“Isu satu orang satu sampan, itu pada kita yang bercakap. Tak tahu mereka luluskan atau tidak.

“Kalau begitu, apa-apa bahaya datang takut jugalah sebab nelayan semua berumur. Dengan panas lagi, risau mereka pitam,” katanya lagi.

Mustapa Che Ahmad

Sementara itu, Mustapa Che Ahmad, 53, berkata dia tidak lagi mempunyai pendapatan dan kini sepenuhnya bergantung kepada bantuan kerajaan selain mengharapkan duit bulanan dari seorang anaknya yang sudah bekerja.

Menurutnya, kehidupan nelayan pesisir pantai sepertinya semakin terhimpit kerana tidak dapat meneruskan aktiviti memancing ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kerja saya hantar orang ke rumah rakit, pendapatan dari situlah. Saya hantar mereka ke sana, dan waktu balik saya yang ambil. Itu pun hanya hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Hari-hari biasa yang lain saya dapat duit dari hasil memancing dan menjala. Tapi sekarang tak boleh buat apa. Tak ada hasil. Saya tak ada pendapatan langsung. Kita masih boleh makan sebab ada anak yang kerja.

“Dulu kalau dapat hasil lebih masa mancing, boleh jual. Tapi sejak PKP, tak boleh bergerak sana sini sangat. Maritim pun dah kacau, nak memancing pun ada SOP,” katanya.

Mustapa juga berkata, dia mengharapkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberi sedikit kelonggaran supaya para nelayan dapat turun ke laut dan memancing semula.

Nelayan pesisir pantai hilang sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).