Tiada manfaat tular konflik politik di Perak, kata Faizal

Tiada manfaat tular konflik politik di Perak, kata Faizal

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini menasihati “tangan-tangan nakal” yang gemar menyebarkan khabar angin dan membuat tular kononnya berlaku konflik politik di negeri itu agar berhenti berbuat demikian.

Sebaliknya kata beliau adalah lebih berfaedah jika pihak berkenaan menggunakan kreativiti mereka menularkan perkara yang dapat membangunkan negeri.

“Dia (penular) fikir seronok, sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa, tiada manfaat, jangan buat kerja yang merugikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson ke-101 di sini.

Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang mengulas mengenai tular menyatakan bahawa menteri besar baharu Perak akan mengangkat sumpah jawatan petang ini.

Sejak minggu lepas, khabar angin menyatakan kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan tumbang dan memungkinkan pilihan raya negeri menghujani aplikasi WhatsApp.

Ahmad Faizal turut membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Saarani Mohamad yang menyatakan terdapat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang mahu menggulingkan menteri besar.

Sambil menyifatkan Saarani mempunyai banyak masa lapang, Ahmad Faizal berkata cerita ‘tumbangkan kerajaan’ itu tidak akan berakhir.

Beliau seterusnya menasihati UMNO serta PAS agar menjadi pembangkang yang baik dan bekerja bersama kerajaan demi rakyat, bukan berusaha menjatuhkan satu sama lain.

Semalam, Saarani dalam satu sidang media mendakwa gerakan untuk mengulingkan menteri besar masih wujud dengan didalangi oleh sekurang-kurangnya seorang Exco yang juga sedang melobi jawatan tersebut.