Malaysia Dateline

Tiada masalah dengan perbualan MB Perak, kata Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada masalah dengan perbualan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam video yang tular baru-baru ini yang memerlukan tindakan diambil terhadapnya.

“Tiada apa. Kadang-kadang dalam situasi tertentu kita kena perjelaskan keadaan sebenar.

“Dalam PH (Pakatan Harapan) ada kalanya DAP menguasai ada kalanya Bersatu berkuasa, ada kalanya PKR, AMANAH sahaja yang dapat Melaka,” katanya ketika ditanya sama ada timbul masalah dengan kenyataan Ahmad Faizal dan sama ada Bersatu akan mengambil tindakan terhadap Menteri Besar itu.

Menurut Dr Mahathir, Ahmad Faizal dalam perbualan itu hanya menerangkan kepada golongan nelayan bahawa walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP lebih ramai di Perak, namun beliau masih menjadi Menteri Besar yang menguasai Kerajaan Negeri.

“Dia berhadapan dengan nelayan yang begitu agresif yang menganggap PH dikuasai oleh DAP, jadi dia terangkan walaupun dia seorang sahaja dan yang lain banyak DAP di Perak tetapi dia masih jadi MB dan masih menguasai kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, hari ini,

Ditanya mengenai gesaan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bahawa Ahmad Faizal tidak layak menjadi Menteri Besar dan gesaan DAP Perak supaya beliau meminta maaf, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Dia dah bercakap baik dah dengan orang itu (Ahmad Faizal), tak berkelahi pun. Saya nak bagi sarung tangan (gloves) kalau nak berkelahi”.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar sidang media itu, Ahmad Faizal menggesa semua pihak memfokuskan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai untuk memastikan kemenangan calon PH Karmaine Sardini.

Beliau menegaskan bahawa kenyataannya diambil di luar konteks dan sudah membuat penjelasan mengenainya kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

 “Saya jelaskan apa yang sebenarnya berlaku, apa yang telah saya katakan. Saya fikir biar kita sampaikan kepada pihak kepimpinan dahulu,” katanya.

Ditanya adakah beliau ada membuat permohonan maaf di atas kenyataannya itu, Ahmad Faizal berkata: “Adakah saya bercakap sesuatu yang salah?”

Beliau turut menjelaskan hubungannya dengan rakan-rakan DAP di Perak masih baik.

“Saya semalam di istana dengan kawan-kawan dari DAP, tiada masalah, baik sahaja, kami sambut hari kelahiran Tuanku, semua orang dalam keadaan gembira,” katanya, sambil menambah beliau percaya tiada unsur sabotaj terhadap kenyataannya itu.

Dalam video berkenaan, Ahmad Faizal, yang juga Pengerusi Bersatu Perak, dilihat memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya, DAP.

Ahmad Faizal yang ketika itu dilihat turut bersama calon PH untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai mengenai situasi di Perak.– BERNAMA