Tiada masalah teruskan projek jambatan bengkok, kata Exco Johor

Tiada masalah teruskan projek jambatan bengkok, kata Exco Johor

Kerajaan Johor tiada masalah untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, ia kerana kerajaan negeri dan Pusat merupakan kerajaan yang sama.

“Sudah tentu kita seiring dari segi keputusan. Menteri Besar, Datuk Osman Sapian pun sudah memaklumkan bahawa kerajaan negeri memang tidak ada masalah untuk menyahut cadangan Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor.

Mazlan berkata, pembinaan jambatan bengkok itu sepatutnya sudah bermula tetapi dihentikan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

“Sekarang, bila Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri, ilham itu kembali tercetus semula.

“Kita di peringkat kerajaan negeri tidak ada masalah menyambung projek tersebut,” katanya dipetik Sinar Online.