Tiada niat bersaing dengan Marissa, ini punca Umisya kongsi gambar bersama Aslam

Oleh WAN SITI AMINAH

Madu kepada anak bekas pasangan selebriti, Norman Hakim dan Abby Abadi, Marissa Dania Hakim iaitu Umisya Mazlan kembali menjadi soroton ramai, baru-baru ini.

Perkara berlaku selepas Umisya memuat naik gambar bersama suami, Ahmad Aslam di akaun Instagram saat lelaki itu menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.

Langsung tiada niat untuk bersaing, Umisya memaklumkan tujuannya memuat naik gambar tersebut adalah untuk mengelak fitnah berhubung status perkahwinannya.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu bahawa dirinya masih bergelar isteri pertama kepada Aslam malah mereka juga sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.

“Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin dari kami. Yang bertanya (status), ya. Kami masih bersama. Misya (sebenarnya) tak suka nak dedahkan atas asbab tertentu.

“(Tujuan memuat naik gambar) Bukan sebab hendak bersaing, cemburu dan lain-lain. Sebaliknya perkongsian ini hanyalah sebagai kenangan dan mengelak fitnah.

“Hari ini Misya muat naik gambar raya bersama (suami) yang diambil semasa Hari Raya pertama,” tulisnya yang kini bergelar personaliti media sosial itu di Instagram.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman memaparkan Marissa Dania membawa Aslam beraya bersama keluarganya termasuk Abby dan ibu tirinya, Memey Suhaiza.

Rakaman yang turut memperlihatkan Abby bersalaman dengan Aslam itu sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai status perkahwinannya dengan isteri pertama.

Sementara itu, Umisya dalam hantaran sama menyifatkan bahawa dirinya enggan memanjangkan perbalahan dengan mana-mana pihak sebagai wanita yang bijak.

Umisya mula dikenali ramai sejak September tahun lalu selepas mendedahkan kecurangan suaminya, Aslam dengan Marissa Dania Hakim di laman aplikasi X.

Dakwanya, hubungan sulit itu telah menghancurkan rumah tangganya dengan Aslam sehinggakan mereka bercerai sebelum rujuk semula di dalam tempoh eddah.

Kemudian timbul pula dakwaan bahawa Aslam dan Marissa sudah menikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada Disember lalu ketika Umisya menunaikan umrah.

Difahamkan, pernikahan tersebut dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama dan keluarga Marissa.

Baca juga: 30 tahun hidup baru tahu Bella Astilah rupanya penyanyi asal Diari Ramadan Rafique