Tak pernah guna dari 2002, lelaki mahu jual Yamaha RXZ tak berdaftar berharga RM120K!

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki yang berasal dari Kajang, Selangor sedang mencari individu yang sanggup membeli motosikal Yamaha jenis RXZ dengan harga RM120,000.

Menjadi dambaan peminat permotoran seantero Malaysia, Yamaha RXZ Catalyzer milik lelaki itu dipercayai tidak pernah digunakan semenjak 2002.

Hal ini kerana, motosikal yang dibaluti plastik dengan penuh kemas itu rupa-rupanya belum pernah didaftarkan oleh pemilik.

Menyita perhatian pengguna media sosial, iklan itu dimuat naik oleh pemilik motor tersebut, Muhammad Imran menerusi laman Facebooknya.

Menerusi hantaran tersebut, Imran turut menjual sebiji lagi motosikal jenis sama dengan harga yang lebih terjangkau iaitu RM75,000.

Namun begitu, motosikal yang lebih murah itu difahamkan telah didaftarkan berikutan ia sudah ditampalkan dengan nombor plat kenderaan.

Bagaimanapun, RXZ Catalyzer 2008 yang lebih ‘mampu milik’ itu sudah tidak boleh dibeli kerana telah ditempah oleh pelanggan.

Bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu turut menjual beberapa jenis aksesori motor RXZ dengan harga berbelas ribu ringgit.

Antara aksesori-aksesori yang dijual Imran adalah ‘cover set’, tempat duduk motosikal (seat), ekzos dan juga ‘rear arm’.

Tidak ditelan dek zaman, motosikal Yamaha RXZ ini telah berjaya menambat hati pengguna sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1985.

Baca juga: Lamborghini terbakar rupanya milik Syamsul Yusof, netizen sibuk cari Ira Kazar