Malaysia Dateline

Agenda sedang disetkan agar BN lawan PH dalam PRK kali ini untuk persiapan PRU 14.

Tiada parti gabungan mampu bertahan kecuali BN

Pelbagai parti gabungan wujud sejak kemerdekaan; dari zaman Parti Perikatan sehinggalah ke Perikatan Nasional (PN). Seperti yang kita dapat lihat, daripada semua parti gabungan yang wujud, hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu bertahan lama. Apakah sebabnya?

Saya cuba merungkai dari zaman Reformasi PKN sehingga kini memandangkan kebanyakan parti-parti tersebut masih kekal relevan dalam politik hari ini.

Salah satu sebab BN dapat bertahan sekian lama adalah disebabkan oleh wujudnya sebuah parti komponen yang dominan yakni Umno. Sifat dominan Umno pula boleh diterima oleh parti-parti komponen yang lain.

Ini kerana parti-parti komponen yang kedua terkanan sedar bahawa pemimpin mereka tidak mungkin akan menjadi Pengerusi BN/Perdana Menteri Malaysia. Oleh yang demikian, tidak berlaku perebutan kuasa antara parti-parti komponen yang lain.

Akan tetapi, perkara sebaliknya telah berlaku terhadap BA, PR dan PH. BA pada masa itu tidak mempunyai kesungguhan yang tinggi untuk menjatuhkan BN (memandangkan cita-cita tersebut dilihat sebagai mimpi dan tidak mungkin dicapai).

Walaupun perebutan kuasa dalaman tidak begitu ketara pada masa itu, namun ketidakserasian ideologi antara DAP dan Pas telah menyebabkan ramai pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas dalam PRU 1999.

PR pula, setelah menjatuhkan BN dalam beberapa negeri, pemimpin-pemimpin Pas mula mencadangkan Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri. Pas turut melihat mereka sebagai lebih junior berbanding PKR dan DAP.

Ini tidak menghairankan apabila banyak isu-isu yang PKR dan DAP lebih sejajar pemikiran mereka berbanding Pas.

Ini termasuk isu bukan bersifat ideologi asas parti (Negara Islam oleh Pas dan negara sekular oleh DAP) seperti isu sama ada Menteri Besar Selangor pada masa itu, Khalid Ibrahim patut meletakkan jawatan atau tidak.

Ditambahkan dengan isu-isu lain, Pas bertindak keluar dari parti gabungan tersebut. Secara ringkasnya, keruntuhan PR pada masa itu boleh diringkaskan sebagai kedudukan Pas yang dilihat dan dirasai lebih muda berbanding PKR dan DAP serta ketidakmungkinan Pas untuk dipertimbangkan ke jawatan Perdana Menteri walaupun Presidennya Hadi Awang merupakan tokoh agama yang disanjungi di peringkat dunia serta berlatarbelakangkan Melayu dan Islam.

Begitu juga dengan PH. Walaupun Mahathir diterima sebagai Perdana Menteri ke-7, namun apa yang ingin dicapai oleh PKR, DAP and AMANAH adalah dengan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.

DAP dan AMANAH sanggup menerima PKR dan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama dalam parti gabungan tersebut. Ini kerana DAP menyedari bahawa ianya masih dilihat sebagai parti Cina manakala AMANAH juga belum mempunyai sokongan sepadu PKR.

Namun, untuk PPBM, tidak semestinya parti gabungan tersebut perlu dipimpin oleh PKR. Walaupun bilangan kerusi Parlimennya hanya sedikit, tetapi PPBM melihat dirinya sebagai mempunyai keupayaan untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan PKR.

Ini ditambahkan dengan latar belakang PPBM serta pemimpin tertingginya sebagai Melayu dan Islam yang memungkinkan mereka (terus) memegang kepimpinan tertinggi PH.

Oleh itu, tidak mustahil untuk berlaku perebutan kuasa antara PKR dengan PPBM dalam parti gabungan PH dan sememangnya, perebutan kuasa yang dijelaskan dalam tulisan inilah yang memecahkan PH sebagai parti gabungan.

Ini merupakan sebab utama kenapa saya tidak melihat Perikatan Nasional mampu bertahan lama. Ini kerana kekuatan PPBM, Umno dan Pas boleh dikatakan agak seimbang. Identiti parti dan pemimpin tertinggi mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam turut memungkinkan mereka menjadi Perdana Menteri.

Oleh itu, sukar untuk mana-mana parti komponen ini menerima parti komponen lain sebagai pemimpin parti gabungan Perikatan Nasional. Akan tetapi, politik adalah seni serba mungkin.
Sekiranya dalam Perikatan Nasional, PPBM, Umno dan Pas sanggup sebulat suara menerima satu parti sebagai pemimpin, maka parti gabungan tersebut dapat bertahan untuk tempoh yang lama seperti BN.

Namun, senario realiti tidak sedemikian. Saya yakin bahawa Pas dan Umno (terutamanya Umno) tidak sudi untuk menerima PPBM sebagai parti dominan dalam Perikatan Nasional. Oleh yang demikian, saya menduga bahawa Perikatan Nasional tidak dapat bertahan lama.

Secara ringkasnya, pengagihan kuasa secara sama rata sedap untuk didengari. Namun, BA, PR dan PH telah menunjukkan kegagalan prinsip sama rata itu untuk berfungsi di Malaysia.
Sebaliknya, parti dominan dalam sesebuah parti gabungan membawa konotasi yang negatif, seolah-olah parti dominan itu akan membuli parti-parti komponen yang lain, namun BN merupakan contoh di mana parti gabungan sedemikian mampu bertahan selama berdekad.

* Penulis adalah Penolong Profesor Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.