Tiada pembatalan projek kerajaan terdahulu

Tiada pembatalan projek kerajaan terdahulu

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini diberitahu tiada projek pembangunan yang diluluskan kerajaan negeri terdahulu dibatalkan atau ditangguhkan oleh kerajaan negeri yang baharu.

Malah kata Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali, kerajaan negeri sekarang tidak  berhasrat untuk membatalkan mahupun menangguhkan mana-mana projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini.

Katanya  pelaksanaan projek pembangunan oleh kerajaan negeri yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) adalah mengikut keutamaan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan urusan perolehan projek-projek yang belum bermula di bawah kerajaan negeri melalui proses tender sama ada secara terbuka, terhad atau secara rundingan terus hendaklah ditangguhkan pelaksanaannya sehingga mendapat persetujuan kerajaan negeri baharu.

“Sehubungan itu, kementerian, jabatan dan agensi negeri telah diarahkan untuk menjalankan proses tender secara terbuka mengikut peraturan dan tatacara perolehan sedia ada,” katanya menjawab soalan Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli) di sini.

Mengulas lanjut, Arifin berkata perolehan yang telah diputuskan oleh Lembaga Tawaran Kementerian dan Lembaga Tawaran Negeri, Agensi Kerajaan Negeri boleh meneruskan pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya agensi kerajaan negeri boleh meneruskan pelaksanaan semua perolehan yang telah dikeluarkan Surat Setuju Terima termasuk  perolehan yang telahpun menerima surat kelulusan daripada Kementerian Kewangan Sabah.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata kementeriannya melalui Jabatan Air Sabah sentiasa memantau dan memastikan bekalan kuasa elektrik di kedua-dua loji penapis air di Telupid dan Beluran dalam keadaan teratur dan terjaga.

Pada masa ini Loji Rawatan Air Muanad di Beluran beroperasi menggunakan bekalan elektrik dan turut dilengkapi dengan jana kuasa tenaga tunggu sedia jika terdapat gangguan bekalan elektrik biasa, katanya.

Beliau berkata Loji Rawatan Air Pekan Telupid juga beroperasi menggunakan bekalan elektrik dan turut dilengkapi oleh jana kuasa tenaga tunggu sedia di muka sauk loji tersebut manakala bagi mengoperasikan pam air mentah, ia bergantung kepada jana kuasa tenaga.

Peter menjawab soalan Abdul Rahman Kongkawang (PBS-Labuk) yang ingin tahu langkah kementerian menangani masalah bekalan kuasa elektrik untuk loji penapis air di Telupid dan Beluran.

— BERNAMA