Malaysia Dateline

Tiada pembuangan pekerja berlaku pengambialihan 4 hotel TH

Tiada pembuangan pekerja akan berlaku membabitkan empat hotel Tabung Haji yang akan dikenali dengan nama baru Raia Hotel yang diambilalih oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

Raia Hotel akan diuruskan oleh anak syarikatnya UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) bermula 1 April 2020.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua kakitangan membabitkan TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang sebelum ini diuruskan oleh TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) akan dikekalkan perkhidmatan mereka.

“Untuk makluman, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan. Seramai 90% daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel.

“Manakala 10% kakitangan hotel akan diserap oleh THHR Kelana Jaya. Selain itu, 90% kakitangan yang terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR.

“TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan yang terlibat demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan,” ujar kenyataan itu.

UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel tersebut yang sebelum ini di bawah seliaan THHR bermula 1 April 2020.

“Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu (1) syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 billion pada hari pemindahan. UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini,” ujar kenyataan itu.

Penubuhan UJPM ini merupakan salah satu langkah kerajaan untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset
hotel di bawah milikan TH telah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel.

Kenyataan menyebut, operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mulai 1 April 2020.

“UJ juga telah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung. UJ juga ingin meyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji.

Pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan
Penstrukturan TH.

Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan.

UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai asetaset di bawah portfolio UJ.

“TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator di empat hotel tersebut.

“Ini kerana, dari segi asasnya, pihak UJ akan meningkatkan imej hotel-hotel tersebut dari segi penjenamaan semula, menaik-taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan.