Malaysia Dateline

Tiada penerokaan baharu, tumpu pada Indonesia, Filipina

AirAsia Group Bhd akan memberi tumpuan pada perniagaan di Indonesia dan Filipina pada tahun ini untuk menjadikannya benar-benar menguntungkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

Dalam hantaran terbarunya di Twitter, beliau turut mengesahkan kumpulan itu tidak akan membuka syarikat penerbangan baharu dalam tempoh tiga tahun.

“Selepas Vietnam kami akan tumpu pada apa yang kami telah miliki (ketika ini).

“Kami telah mempunyai barisan francais yang hebat  – Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam  (negara-negara ini mempunyai) populasi besar dan merupakan ekonomi yang sedang pesat membangun,” katanya.

Fernandes juga berkata  (operasi) AirAsia India dan Jepun akan memberikan sokongan kepada kumpulan üntuk “meliputi dunia”dan terus berkembang.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa operasi syarikat penerbangan itu di India dan Jepun akan mencatat keuntungan pada 2021.

— BERNAMA