Malaysia Dateline

Tiada pengundi hantu, DAP kesal kekecohan berlaku

DAP menafikan dakwaan terdapat pengundi hantu semasa proses pemilihan kepimpinan parti itu di Negeri Perak, semalam.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.

Malah katanya, Pengurus Pilihanraya untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah dilantik oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan secara lazimnya individu tersebut adalah pemimpin dari negeri lain yang tidak ada kepentingan dalam proses pemilihan di negeri tersebut.

“Sebelum seseorang wakil mendapat kertas undi mereka, kad pengenalan mereka akan diperiksa dan disahkan butirannya mengikut senarai perwakilan.

“Semua jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab untuk menguruskan logistik untuk Konvensyen Biasa Negeri juga perlu mematuhi segala tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Organisasi Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Anthony berkata, setiap wakil yang layak untuk hadir ke Konvensyen Biasa Negeri berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh Pengurus Pilihanraya.

Ini berikutan dakwaan dilemparkan Naib Ketua DAP, M Kula Segaran dan rakannya Ahli Parlimen Ipoh Barat, Thomas Su bahawa pihak penganjur menipu kerana membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa yang ditetapkan.

Sebilangan penyokong juga melaung “pengundi hantu” semasa kekecohan ketika pemilihan sedang berlangsung.

Difahamkan, sepatutnya pendaftaran untuk perwakilan yang akan mengundi hanya dibenarkan setakat pukul 11.30 pagi sahaja.

Namun dakwaan mengatakan bahawa pendaftaran terus dibuka sehingga lebih pukul 12 tengah hari.

Sementara itu, Anthony melahirkan rasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku dalam konvensyen yang berlangsung semalam dan menganggap hal itu tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan parti DAP.

Beliau turut menyeru agar setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka.