Malaysia Dateline

Tiada peningkatan ketara pesakit Long Covid dimasukkan ke ICU

Berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas pesakit yang mengalami gejala Long COVID mendapati lima gejala utama yang sering dialami mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin berkata gejala kelesuan yang dialami pesakit paling tinggi iaitu sebanyak 79.2%, manakala kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti tertentu sebanyak 52.6%.

Selain itu katanya, gejala batuk sebanyak 17.2% kesukaran tidur (14.6%) dan keresahan (10.6%) dilaporkan antara gejala Long Covid.

Namun katanya, tanpa tanpa rawatan yang khusus dan berstruktur, keadaan ini berpotensi berterusan dan mengambil tempoh masa yang lama bagi pengembalian kefungsian sepenuhnya justeru menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan COVID-19.

“Ini boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan justeru bebanan sosio-ekonomi bukan sahaja kepada individu tersebut, malah keluarga mereka, masyarakat serta ekonomi negara,” kata beliau dalam sidang khas hari ini.

Khairy turut mengakui terdapat kes-kes yang hadir semula ke hospital setelah discaj dan dirawat berdasarkan simptom dan gejala Long Covid.

Walau bagaimanapun, katanya tiada peningkatan yang ketara bagi kemasukan semula ke ICU dalam kalangan pesakit long covid dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Bagi kes kematian, jelas beliau tiada klasifikasi khusus bagi kes long covid kerana kematian direkodkan berdasarkan kepada punca kematian.

“Beberapa kajian sedang dijalankan bagi mengetahui dengan lebih lanjut isu ini dan keputusan kajian ini akan diumumkan apabila kajian selesai,” kata beliau.