Malaysia Dateline

‘Tiada perbincangan dalam PH tukar Ketua Pembangkang’

Perbincangan rasmi mahupun tidak rasmi dalam Pakatan Harapan (PH) langsung tidak kedengaran untuk menukar Ketua Pembangkang, tegas Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berpendapat gesaan agar pembangkang menukar Ketua Pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya “cucukan-cucukan nakal pihak tertentu”.

“Tiada dalam mana-mana pemimpin dalam AMANAH, DAP dan PKR yang menyebut saranan tersebut (menukar Ketua Pembangkang).

“Di peringkat tertinggi tidak wujud polemik siapa perlu menjadi Ketua Pembangkang yang sekarang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam bual bicara di Facebook Pemuda AMANAH Nasional sebentar tadi.

Untuk rekod, Anwar yang juga Presiden PKR dinamakan sebagai Ketua Pembangkang pada Mei lalu.

Pemilihan Anwar yang dipersetujui Majlis Presiden PH mengambil kira jumlah wakil rakyat dalam parti dan pandangan semua Ahli Parlimen.

Menerusi slot “Kita Bincang: 108 Suara Terkuat Pembangkang?” itu, Shazni berkata, hal paling penting perlu dilakukan PH pada masa ini ialah memanfaatkan kekuatan pembangkang dengan menjadikan kekuatan PH sebagai teras.

Jelasnya, perkara itu perlu menjadi ketetapan dalam menuju PRU-15 terutama di peringkat Majlis Presiden PH selepas pembangkang tidak berjaya menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) menerusi undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

“Berapa kali lagi kita perlu ‘dimainkan’ oleh Ahli Parlimen Umno?

“Kalau kita boleh bertindak secara objektif membincangkan hal yang penting di meja rundingan dalam Majlis Presiden PH, mengapa kita tidak bergerak untuk itu?

“Kalau perkara yang melibatkan agihan kerusi cukup sensitif, mungkin parti-parti pembangkang boleh melancarkan jentera pilihan raya bersama atau menganjurkan ceramah-ceramah virtual secara bersama.

“Kita bergerak setakat mana yang yang boleh,” ujarnya lagi dalam slot dimoderatorkan Pengarah Pilihanraya Pemuda AMANAH Nasional, Asmaaliff Abd Adam.