Tiada perbincangan rombakan kabinet pada semalam

Tiada perbincangan rombakan kabinet pada semalam

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan, tiada sebarang perbincangan berkaitan rombakan kabinet diadakan pada mesyuarat kabinet yang berlangsung semalam.

Beliau menjelaskan, mesyuarat kabinet pada semalam hanya membincangkan tentang urusan kerajaan dan tidak menyentuh soal rombakan tersebut.

“Ini (rombakan kabinet) tidak dibincangkan langsung. Semalam hanya di antara pemimpin utama kerajaan dan bukannya melibatkan ketua parti.

“Sebab itulah hanya pemimpin kerajaan iaitu menteri-menteri yang hadir untuk bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tentang rombakan kabinet ini, bukan sahaja semalam, malah sebelum-sebelum ini pun tidak pernah disebut dan dibangkitkan. Mengenai Mustapa Mohamed (Tok Pa) itu saya tak tahu,” jelasnya pada sidang media Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 Perumahan Mampu Milik, di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjelaskan demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan berhubung beberapa laporan media pada semalam yang mendakwa rombakan kabinet akan diumumkan segera, paling cepat seminggu.

Dua akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily dan Sinchew Daily mendakwa dalam rombakan itu, bekas menteri Umno yang telah menyertai Bersatu, iaitu Tok Pa ‘hampir pasti’ menyertai kabinet.

Menurut Oriental Daily, Perdana Menteri sudah membincangkan perkara tersebut dengan Guan Eng dan juga Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Oriental Daily mendakwa, tindakan itu akan diambil memandangkan kabinet memerlukan anggota berpengalaman.