Tiada permohonan dari Malaysia ekstradisi Sirul Azhar

Tiada permohonan dari Malaysia ekstradisi Sirul Azhar

Australia hari ini berkata ia masih belum menerima sebarang permohonan dari Malaysia untuk mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar yang memohon perlindungan di negara itu.

Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata Sirul Azhar, yang dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2009 di Malaysia, kini ditahan di pusat tahanan imigresen di Australia.

“Biar saya jelaskan, dia berada dalam tahanan imigresen. Dia sedang ditahan dan tiada permohonan untuk ekstradisi. Ia telah disahkan oleh (Perdana Menteri Malaysia) Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabat Dr Wan Azizah di Parlimen, lapor Bernama hari ini.

Julie Bishop (kiri) bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen hari ini,-Foto Bernama.

Bishop juga ditanya mengenai jangka masa Sirul Azhar dijangka pulang ke Malaysia.

Beliau berkata memandangkan tiada permohonan berhubung ekstradisi, tidak sesuai bagi beliau untuk spekulasi mengenai tempoh kepulangannya.

Pada 2009, Sirul Azhar dan bekas ketua inspektor UTK Azilah Hadri dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu bagaimanapun Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati.

Dalam tempoh pembebasan itu, Sirul Azhar melarikan diri ke Australia yang akhirnya dia ditahan pihak berkuasa imigresen.

Ditanya mengenai pendirian kerajaan Australia mengenai kes itu, Bishop berkata pendirian Australia, perkara asas yang akan diambil kira bagi kes ekstradisi sama ada hukuman mati dilaksanakan di negara yang memohon ekstradisi berkenaan.

Dr Wan Azizah baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan Malaysia sedang menimbang pemansuhan hukuman mati mandatori dalam undang-undang berhubung kesalahan jenayah, langkah itu sudah pasti menyebabkan pihak berkuasa Australia tiada pilihan tetapi menghantar pulang Sirul Azhar.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Dr Wan Azizah berkata cadangan pemansuhan hukuman mati adalah antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuan dengan Bishop.

“Kami juga bercakap mengenai hukuman mati, tentang bagaimana Malaysia bercadang untuk memansuhkan hukuman mati,” kata Dr Wan Azizah.

Berhubung isu itu, Bishop berkata pemansuhan hukuman mati merupakan pendirian yang telah lama diperjuangkan Australia sama ada dalam negara berkenaan atau di luar negara.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote