Malaysia Dateline

Tiada permohonan wakil rakyat Umno diluluskan, kata Muhyiddin

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih lagi tidak menerima sebarang permohonan mana-mana bekas Ahli Parlimen Umno untuk menyertai parti itu setakat ini.

Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mempunyai syarat-syarat tertentu untuk meluluskan permohonan bekas wakil rakyat Umno menyertai parti itu.

“Tiada. Tiada yang diluluskan seperti yang kita persetujui mereka perlu melalui suatu tempoh sebagai wakil rakyat bebas.

“Keduanya mereka tidak terbabit sebarang jenayah dan rasuah dan dari segi politik kita akan lihat sama ada mereka seorang wakil rakyat yang mampu menyumbang kepada parti,” ujarnya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Ahli majlis Tertinggi sempena pelancaran Mesyuarat Agung Tahunan ke-2 di PICC hari ini.

Muhyiddin juga berkata, mesyuarat agung tahunan ini untuk melihat usul yang akan dibincangkan oleh majlis tertinggi, sayap Armada dan Srikandi.

Beliau berkata beberapa pemimpin komponen Pakatan Harapan akan hadir malam ini, antaranya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemimpin AMANAH yang akan menghantar wakilnya kerana Presiden Mohamad Sabu mengerjakan umrah ketika ini.

Selain itu 16 wakil  kedutaan asing turut dijemput termasuk 300 pengamal media untuk membuat liputan tiga hari Perhimpunan Agung  Tahunan ke-2 yang bermula hari ini sehingga Ahad ini.