Malaysia Dateline

Tiada pertambahan kes positif Coronavirus direkodkan setakat hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sehingga ke hari ini, tiada pertambahan kes positif melibatkan virus Coronavirus (2019-nCoV) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan juga kekal dengan lapan kes.

“Tiga kes yang dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima kes dalam kalangan kontak rapat. Kesemua kes tersebut berkaitan warganegara China.

“Kesiapsiagaan dan respon terhadap wabak penyakit ini akan dipertingkatkan bagi menangani kejadian ini.

“Pengesanan awal kes yang disyaki jangkitan Coronavirus adalah penting dalam pengurusan kes dan kontak rapat dalam menghadapi potensi penularan penyakit ini.

“Kami (KKM) akan terus bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani kejadian ini,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly turut memaklumkan, lapan warganegara China di negara ini yang disahkan positif koronavirus berada dalam keadaan stabil.

“Mereka akan dibenarkan pulang jika keadaannya didapati sudah pulih,” katanya.

Semalam, Mstar melaporkan, seorang lagi warga China disahkan positif koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti virus itu di negara ini adalah seramai lapan orang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif novel koronavirus (2019-nCoV) yang terbaharu membabitkan wanita warga China berusia 49 tahun dalam kalangan kontak rapat dengan pesakit yang disahkan positif virus tersebut.