Malaysia Dateline

Tiada pertemuan pimpinan PH Plus hari ini

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengesahkan tiada sebarang mesyuarat atau pertemuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya yang kini dikenali sebagai PH Plus hari ini.

Dalam satu kenyataannya, beliau bagaimanapun memberitahu kenyataan rasmi pimpinan akan dikeluarkan pada petang atau lewat hari ini.

“Harap maklum, tiada pertemuan di ibu pejabat Keadilan (PKR) hari ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Sepatutnya, segala keputusan berhubung calon Perdana Menteri PH Plus diumumkan hari ini susulan mesyuarat bersama pimpinan pakatan politik itu Selasa minggu lalu.

Mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat PKR itu dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut menyertainya, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selain kepimpinan tertinggi setiap parti.

PH Plus terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH, Warisan dan kem penyokong Mahathir.

Pada 11 Jun lalu, Anwar mendakwa PH bersama sekutunya mempunyai sokongan daripada 107 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, jumlah itu tidak termasuk Ahli Parlimen bebas atau pihak lain yang tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan pada 9 Jun.

Sementara itu, Mahathir sebelum ini mencadangkan dirinya sebagai PM manakala Anwar sebagai timbalannya.

Ahli Parlimen Langkawi tersebut mencadangkan supaya beliau menjadi PM selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan kepada Anwar jika PH berjaya mengambil alih kuasa pentadbiran.

Bagaimanapun PH menolak cadangan tersebut selepas Mahathir bertindak meletakkan jawatan Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.