Malaysia Dateline

Tiada perubahan tarikh kemasukan pelajar di UNIMAS

Tiada perubahan tarikh untuk kemasukan pelajar-pelajar program prasiswazah baharu serta pelajar sedia ada bagi Semester 1 Sesi 2020/2021 yang dijadualkan pada 5 Oktober depan.

Dalam satu kenyataannya, UNIMAS berkata setakat ini tiada perubahan pada tarikh yang telah ditetapkan walaupun terdapat laporan berita dan media sosial berkenaan penangguhan kemasukan pelajar Universiti Awam di Kedah dan Sarawak ekoran pandemik COVID-19.

Kata kenyataan itu, sesi kemasukan pelajar-pelajar tahun pertama program prasiswazah UNIMAS masih diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5 hingga 8 Oktober 2020.

“Bagi tarikh kemasukan pelajar-pelajar baharu Pra-Universiti UNIMAS dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 5 September 2020.

“Manakala, tarikh kemasukan bagi pelajar-pelajar siswazah (secara kerja kursus) adalah pada 7 hingga 9 Oktober depan dan pelajar semasa UNIMAS pula akan memulakan sesi perkuliahan pada 12 Oktober menggunakan sistem pembelajaran atas talian sepenuhnya,” tambah kenyataan itu.

Pada masa sama, UNIMAS turut memaklumkan pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan pelajar dan akan terus memantau perkembangan situasi terkini.

“Kementerian Pengajian Tinggi juga telah memaklumkan pendaftaran pelajar hanya akan ditunda sekiranya berlaku peningkatan kes penularan wabak COVID-19.

“Sebarang keputusan selanjutnya akan diumumkan kemudian tertakluk kepada perubahan serta arahan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak dari semasa ke semasa,” tegas kenyataan itu lagi.