Malaysia Dateline

Tiada peruntukan nyatakan PM perlu letak jawatan jika belanjawan ditolak tapi…

Tiada peruntukan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang Perdana Menteri perlu meletakkan jawatannya jika sesuatu belanjawan itu ditolak ketika hari pengundian.

Bagaimanapun, terdapat beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang akan dihidupkan sekiranya jumlah Ahli Parlimen yang menolak Usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 melebihi dari mereka yang menyokong.

Pengamal undang-undang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, apa yang jelas, jika lebih ramai Ahli Parlimen menolak dari menyokong, maka ia adalah satu isyarat jelas bahawa kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan harus diakui tiada nas jelas yang menyatakan sekiranya sesuatu belanjawan itu ditolak, maka seseorang Perdana Menteri itu haruslah meletak jawatan.

“Tetapi yang menariknya, Perlembagaan Persekutuan menyatakan Perdana Menteri mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Maka pandangan saya, walaupun tiada peruntukan khusus menyebut seseorang Perdana Menteri perlu meletak jawatan kerana belanjawan gagal diluluskan, namun apabila ianya melibatkan sesuatu yang besar dan penting, kegagalan PM-8 pada masa undian RUU Perbekalan 2021 membawa erti bahawa beliau tidak mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga memetik beberapa negara luar sebagai contoh iaitu Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak yang telah meletakkan jawatannya pada Februari 2020 apabila belanjawan yang diusulkan kerajaan pimpinannya telah ditolak oleh Parlimen.

Pada 2011, Perdana Menteri Portugal, Jose Socrates juga meletak jawatan apabila langkah-langkah penjimatan yang diusulkan kerajaan pimpinannya telah ditolak, dan disusuli Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte yang meletakkan jawatannya pada 2012.

Rafique menegaskan, kepercayaan majoriti paling terpenting kerana tanpa sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, seseorang yang mengemudi kerajaan dan negara itu akan sentiasa dipersoalkan keabsahannya yang akan membawa kepada krisis politik berpanjangan.

Justeru katanya, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan perlu dirujuk semula jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

“Perkara 43 (4) menyatakan bahawa apabila Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletak jawatannya serta Kabinetnya melainkan di atas permintaanya Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Sila beri perhatian bahawa bukan Perdana Menteri sahaja meletakkan jawatan tetapi nasib yang sama juga terhadap jemaah Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya lagi.

Proses selepas itu pula menurut Rafique, seorang Perdana Menteri yang baharu boleh dilantik tanpa melalui Pilihan Raya memandangkan negara dalam keadaan gawat dan tidak sesuai untuk melaksanakan PRU.

“Rujuk sahaja pada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan jawapannya ada disitu. Ahli Dewan Rakyat kini harus sedar bahawa Malaysia sedang dilanda situasi yang “unprecedented”.

“Pilihan dan sokongan majoriti mesti ditujukan kepada calon yang mampu menakhoda negara keluar dari kemelut pandemik ini,” katanya sambil menyifatkan kerajaan Perpaduan yang merentasi politik kepartian adalah satu-satunya penyelesaian terbaik.