Tiada politik balas dendam kepada artis sokong Umno, kata Leman Raja Lawak

Tiada politik balas dendam kepada artis sokong Umno, kata Leman Raja Lawak

Penyokong dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya tidak mengamalkan politik dendam setelah memenangi pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak juga berkata, sifat dendam kepada golongan artis juga tidak harus ada.

“Adalah tidak wajar politik dendam terbawa-bawa dalam saluran media sosial sehingga melibatkan rezeki sesetengah individu terlibat.

“Sebagai seorang artis, mereka juga berhak untuk memilih apa jua parti yang mereka rasakan terbaik untuk mereka.

“Sikap menghormati orang lain serta orang lain juga akan menghormati kita harus ada walaupun berbeza pandangan politik, ” ujarnya lagi.

Menurut Sulaiman lagi, politik merupakan sifat sementara serta ia dipenuhi dengan pelbagai pancaroba.

“Kita membawa Islam sebagai Rahmatan Lilalamin dimana ia merangkumi semua aspek.

“Saranan kerajaan PH supaya diwujudkan perubahan dalam keseluruhan pentadbiran tidak bermakna kita harus memulaukan artis yang menyokong Umno.

“Seharusnya galakan dan dorongan dalam apa jua bentuk kebajikan harus diberikan bagi membantu golongan artis lebih maju ke hadapan, ” jelasnya lagi.

Malah tegasnya, apa yang sedang diviralkan melalui media sosial mengenai Dato Rosyam Noor supaya jangan menyokong pasaraya yang baru dibukanya kerana ia adalah penyokong tegar Umno merupakan akhlak yang tidak patut ditonjolkan.

“Sepatutnya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar dengan membawa Islam yang ramah dan membuat pendekatan Islam yang sebenar.

“Tidak dapat dinafikan masih ramai penyokong bersifat fanatik dalam sesuatu isu.

“Namun begitu tidak harus wujud sifat menghukum dan menyekat pintu rezeki orang lain hanya kerana perbezaan pandangan politik, ” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kemenangan yang diberikan oleh Allah dalam PRU baru-baru ini sebenarnya adalah suatu ujian.

“Bawa akhlak dan tunjukkan teladan yang baik.

“Kemungkinan kemenangan kita akan mencambah lagi selepas ini.

“Kemenangan boleh berlarutan sehingga kepada PRU ke 15 maupun 16 yang akan datang sekiranya ujian ini mampu dilakari tanpa politik dendam terhadap mana-mana pihak, ” tegasnya.