Malaysia Dateline

Tiada politiking dalaman kuatkan wadah perjuangan tulen AMANAH, kata Khairuddin

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berpandangan Parti Amanah  Negara (AMANAH) tiada politiking dalaman membabitkan ahli dan pemimpin parti  telah menguatkan wadah perjuangan AMANAH  yang baru tiga tahun penubuhannya itu.

Beliau berkata, AMANAH selari dengan jiwa dan prinsip perjuangannya.

“Parti AMANAH amat sesuai dan sebati dengan jiwa serta prinsip perjuangan saya.

“Dalam parti AMANAH hubungan silaturrahim sesama pemimpin-pemimpin dengan ahli-ahlinya amat tulen.

“Politiking dalaman tidak berlaku dan fokus utama hanyalah wadah perjuangan yang ikhlas untuk menguatkan parti serterusnya memperkasakan bangsa, agama mahupun tanahair yang tercinta ini.

“Berada dalam parti AMANAH amat tenang dan unsur-unsur hipokrasi tidak kelihatan sesama ahli-ahli,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin ketika dalam Umno memegang jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan  dan  kemudian menjadi antara pengasas kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).  Bagaimanapun beliau  membuat keputusan keluar parti untuk memberi tumpuan penuh melawan kes mahkamah membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tahun lepas selepas membuat aduan berhubung 1MDB di beberapa agensi penguatkuasa undang-undang luar negara.

Khairuddin bersama Datuk Mohd Ezam Mohd Nor pernah mengambil alih pengurusan Parti Generasi Baru (New Gen Party) dengan menukarkan kepada nama baru Parti Bebas Rasuah (PBR). Bagaimanapun usaha itu gagal apabila menghadapi halangan dari sudut perundangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Selepas itu beliau mengumumkan menyertai AMANAH pada 14 April 2018 lalu dan ditawarkan bertanding kerusi Parlimen Jasin bagaimanapun beliau yang mewakili PH tewas dengan calon BN yang menang majoriti tipis 81 undi.

Khairuddin kini adalah  Penyelaras AMANAH Parlimen Jasin  sebagai ‘orang baru’ menyertai AMANAH beliau berkata, dirinya tidak pernah disisihkan malahan diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Jasin pada PRU14 yang lalu.

“Tidak kedengaran langsung protes dari pemimpin-pemimpin mahupun ahli-ahli parti AMANAH apabila saya dipilih bertanding di kerusi Parlimen Jasin walaupun status pendatang baru dalam parti ini.

“Pada suatu masa dahulu saya pernah berada dalam Umno  terlalu korup, hipokrasi, tikam menikam sesama sendiri, rakus kuasa dan pentingkan kebendaan.

“Umno dan parti AMANAH bolehlah diibaratkan seperti ‘langit dan bumi’ kerana AMANAH berpegang utuh pada prinsip Islam yang inklusif dan progresif cukup mengagumi saya.

“Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti Amanah yang ujud dan ditubuhkan dari serpihan Pas amat berpegang kepada ajaran Islam tulen berteraskan kepada Al-Quran serta As-Sunnah.

“Mereka amat praktikal di dalam mengalas amanah manusia dengan Allah swt serta manusia sesama manusia.

“Insya-Allah, saya akan teruskan perjuangan untuk tegakkan kebenaran secara terbaik dan teramanah mungkin di bawah platform AMANAH,” luah Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) ini lagi.