Malaysia Dateline

Tiada PRK Dun Pujut, kata Speaker Dun

Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak memutuskan pilihan raya kecil tidak akan diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon, hari ini.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, berkata ia berikutan tempoh DUN Sarawak akan berakhir dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.

Justeru, Mohd Asfia berkata, beliau tidak akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan kerusi DUN Pujut.

“Tidak… tidak akan ada pilihan raya kecil kerana Dun Sarawak akan matang pada Jun 2021.

“Berdasarkan Artikel 21(5) Dun Sarawak, apabila kekosongan berlaku dalam tempoh kurang daripada dua tahun DUN matang, kekosongan itu tidak perlu diisi, kecuali Speaker Dun memaklumkannya kepada SPR secara bertulis dan saya tegaskan, saya tidak akan menulis surat itu,” katanya seperti dipetik laporan Berita harian hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dun Sarawak, di sini, lewat petang ini yang turut dihadiri Timbalan Speaker Dun Sarawak, Datuk Gerawat Gala dan Setiausaha Dun Sarawak, Pele Peter Tinggom.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Dun Sarawak membuat keputusan betul ketika melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai AdunPujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa Dun mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding Dun tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan panel sembilan hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Dr Ting dari DAP dilucutkan kelayakan sebagai ADUN pada 12 Mei 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia susulan usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak ketika itu Datuk Seri Wong Soon Koh di Mahkamah Tinggi Kuching.

Pada 17 Jun 2017, Mahkamah Tinggi memutuskan adalah salah di sisi undang-undang untuk DUN melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut.

Susulan rayuan dikemukakan, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 pada 13 Julai, 2018, memutuskan DUN telah melangkaui bidang kuasanya dalam melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai Adun atas asas dua kewarganegaraan yang dimilikinya.

Dr Ting telah melepaskan kewarganegaraan Australianya sebelum dinamakan sebagai calon Pujut.

Sementara itu, Mohd Asfia berkata, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Dr Ting, seharus mengembalikan semua gaji dan elaun yang diterimanya sejak hari pertama menjadi ADUN Pujut selepas memenangi kawasan itu pada 7 Mei 2016.