Malaysia Dateline

Pegawai polis terserempak dengan tiga suspek lelaki dan menembak mati mereka di Borough Market Foto Dok BBC

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di London

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan ganas di London Bridge dan Borough Market, yang menyebabkan enam orang maut dan sekurang-kurangnya 20 cedera, termasuk seorang anggota polis.

Ketika mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan di sini hari ini, Kementerian Luar berkata pihaknya sedang melakukan pemantauan rapi mengenai perkara itu dengan pihak berkuasa tempatan.

Ia juga menasihati rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan memaklumkan tentang perkembangan terkini berhubung kejadian itu kepada masyarakat Malaysia yang tinggal di bandar raya berkenaan,” kata kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kecemasan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi suruhanjaya itu melalui talian +44 (0) 207 242 4308 atau emel di alamat [email protected]

Kementerian Luar juga menyampaikan perasaan simpati mendalamnya dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurut laporan, dalam kejadian semalam, sebuah van merempuh pejalan kaki, manakala pengunjung bar dan restoran ditikam dengan pisau. Pegawai polis terserempak dengan tiga suspek lelaki dan menembak mati mereka di Borough Market.

Terdahulu, Malaysia mengutuk serangan kedua di London selepas satu serangan berlaku di luar bangunan parlimen Britain pada Mac tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau amat dukacita dengan insiden itu.

“Saya amat terkejut dan kecewa. Malaysia mengutuk tindakan kejam itu dan kami kekal berdiri teguh dengan rakyat Britain,” kata Najib dalam catatan terbaru di Twitter beliau hari ini.

Serangan itu berlaku hampir dua minggu selepas seorang penyerang bunuh diri membunuh sekurang-kurangnya 22 orang pada konsert di Manchester Arena di Manchester.