Malaysia Dateline

Tiada rancangan buka kasino di Tioman, kata MB Pahang

Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah mempertimbangkan menawarkan lesen untuk operasi kasino di Pulau Tioman, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Idea untuk menawarkan lesen mengendalikan kasino di Pulau Tioman tidak pernah terlintas di fikiran kita,” katanya kepada Sidang Dewan undangan Negeri.

Wan Rosdy menjawab soalan tambahan dari Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri berhasrat memberikan lesen berikutan perbincangan bahawa sebuah lapangan terbang akan dibina di Mersing, Johor.

Mersing adalah tempat yang digunakan oleh feri untuk ke Pulau Tioman. Tempat yang lain ialah Tanjung Gemok di Rompin, Pahang.

Wan Rosdy berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) memutuskan untuk tidak membina lapangan terbang di Mersing. ECER meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Ketika menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu), Wan Rosdy berkata Genting Highlands dan Bukit Tinggi menyumbangkan cukai sebanyak RM49 juta kepada kerajaan negeri antara Januari dan Oktober tahun ini.

“Cukai ini termasuk kadar penilaian yang dikutip oleh Majlis Perbandaran Bentong, berjumlah RM35juta dari Genting Malaysia Berhad dan RM700,000 dari Bukit Tinggi Resort.

“Kira-kira RM2.18 juta diperolehi daripada cukai hiburan. Hasil daripada cukai hiburan disalurkan ke akaun hasil yang disatukan, “katanya.

Wan Rosdy berkata cukai hiburan dikumpulkan selaras dengan Akta Duti Hiburan 1953 di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.-Bernama.