Malaysia Dateline

Tiada rekod keluar pelancong: Pas dakwa ada sindiket terancang

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) hari ini menzahirkan kebimbangan berikutan isu lambakan kemasukan pelancong China dan India ke dalam negara yang tidak mempunyai rekod keluar berkemungkinan selama ini  didalangi sindiket terancang.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, sepanjang 2016 sehingga 2018 sebanyak 79,799 data ketibaan warga China dan 41,243 warga India melawat ke negara ini.

Namun katanya, sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) merekodkan sejumlah 76,258 (95.6 peratus) warga China dan 39,806 (96.5 peratus) warga India tidak mempunyai rekod keluar.

“Gangguan sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama tiga hari pada 21 Ogos lalu, juga menjadi catatan hitam dalam sejarah negara.

“Dalam tempoh tersebut, tular di media sosial segerombolan warga China masuk ke negara ini atas tiket pelancong.

“Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan terancang apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) membuat laporan kepada Jabatan Imigresen dan PDRM supaya menyiasat kegagalan rangkaian di KLIA itu seperti satu tindakan berniat jahat.

“Ia seperti mempunyai kaitan dengan sindiket kad pengenalan, pasport dan sijil kelahiran palsu di Pulau Pinang yang menyebabkan lebih 20 suspek telah ditangkap termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamaruzaman menambah, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, mengatakan pihaknya percaya sindiket itu bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, malah di negeri-negeri lain dan percaya ianya sudah lama beroperasi.

Justeru, Pas menegaskan agar pihak menteri dan pihak berkuasa segera menyiasat sindiket kemasukan warga China dan India serta kaitannya dengan sindiket kad pengenalan palsu secara menyeluruh.

“Jangan kerana kepentingan pihak tertentu untuk mempertahankan kuasa politik, kedaulatan dan keselamatan negara tergadai di tangan orang asing,” tegas beliau.