Malaysia Dateline

Tiada rekod kemasukan RM90 juta dari 1MDB ke akaun Pas, kata SPRM

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang wang berjumlah RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikesan dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata hasil siasatan pihaknya sejak awal bulan ini mendapati tiada bukti transaksi yang boleh dikaitkan dengan dakwaan tersebut.

“SPRM setakat ini memang mendapati tidak berlaku kemasukan RM90 juta yang dikatakan daripada 1MDB ke dalam akaun Pas,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) 24 orang Anggota Dewan Undangan  Negeri  (Adun) Terengganu pada Ahad.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut pertanyaan wartawan yang mahu tahu berapa ramai lagi saksi akan dipanggil dan kesediaan SPRM untuk menutup kes tersebut.

Sebelum ini, beberapa individu telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan iaitu Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Selain itu, bekas pengerusi Bersih, S Ambiga dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa juga telah memberi keterangan berhubung siasatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berharap semua pihak dapat menerima pengesahan SPRM itu sebagai fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus dan profesional.

“Pas juga menyeru agar isu itu dihentikan dengan segera dan Pas menangguhkan haknya untuk mengambil segala tindakan mengikut undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpamanya terhadap Pas,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Pengesahan itu, kata Takiyuddin, membuktikan segala tohmahan dan dakwaan yang dibuat oleh pelbagai pihak sama ada dari luar mahupun dalam negeri adalah suatu pembohongan, fitnah liar dan perancangan jahat berbentuk ‘mala fide’ bertujuan memburukkan imej dan integriti Pas terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.