Tiada royalti minyak untuk Kelantan sangat mendukacita, kata Husam Musa

Oleh BORHAN AHMAD

Kenyataan terbaru Menteri Kewangan bahawa Kelantan tidak akan diberikan royalti tetapi hanya wang ehsan dalam parlimen amat mendukacitakan rakyat Kelantan, kata Datuk Husam Musa, pejuang hak royalti untuk Kelantan sejak dahulu.

Bagi beliau, ia sama sekali tidak selari dengan apa yang diperjuangkan beliau dan rakan-rakan serta bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu.

“Saya masih ingat kata-kata Tok Guru Nik Aziz dahulu bila bercakap soal wang ihsan-royalti.

“Gapo dia wang ihsan?. Ihsan ihsan ni kesian. Kawe buke kkandok(berkehendak) pado kesian demo. Kawe nok hok kawe.”

“Begitulah Tok Guru Nik Aziz, sangat semangat dan bersama-sama berusaha untuk dapatkan hak Kelantan,” kata Husam dalam catatan di facebook beliau malam tadi.

Menurut bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan yang pernah memimpin perhimpunan menuntut royalti untuk Kelantan di Kuala Lumpur itu (gambar atas), isu royalti ini sangat dekat di hati beliau dan team Royalti.

“Ini adalah hak yang telah dinafikan. Kita doakan agar suatu hari nanti Kelantan akan mendapat hak yang sewajarnya,” kata Husam bekas Naib Presiden AMANAH itu.

Katanya, ramai pejuang royalti di zaman Tok Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar bersama-sama berusaha menggerakkan massa untuk menuntut royalti daripada kerajaan pusat pada masa tersebut.

Anak-anak muda Kelantan, katanya, bangkit bersama-sama demi menuntut hak Kelantan yang telah lama dinafikan.

“Sebagai salah tanda kami berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bayaran royalti ini, saya telah berjumpa dengan Menteri Petroleum Kurdistan,” kata beliau.

Husam bertemu dengan Menteri Petroleum dari Kurdistan bagi membincangkan bagaimana negeri di bawah Iraq itu mendapatkan hak royaltinya.

Kurdistan adalah sebuah wilayah semi-autonomi. Wilayah ini telah dinafikan hak “royalti” minyak oleh Iraq pada masa tersebut.

Kurdistan, katanya, telah melaksanakan inisiatif sendiri dengan membuat saluran paip minyak nun jauh di Ceyhan, Turki untuk mengeluarkan dan memproses minyak dan menjualnya sendiri.

Hasilnya, kata Husam, dengan peratusan jualan dikongsi sedikit dengan Turkey memandangkan negara kuasa besar itu membenarkan minyak diproses di kawasannya.

“Akhirnya Kurdistan berjaya. Inilah antara usaha kami di Royalti dahulu. Demi negeri tercinta Kelantan. Moga Allah rahmati para pejuang Royalti yang sebahagiannya telah pergi meninggalkan kita semua. Allahummaghfirlahum warhamhum,” kata beliau lagi.

Menurut Husam, beliau masih ingat di awal perjuangan mereka dahulu, ada yang sinis akan tuntutan ini.

“Alhamdulillah semasa kerajaan PH memerintah kerajaan PH telah memberi 400 juta masuk terus ke dalam akaun kerajaan negeri tanpa prejudis walaupun berlainan ideologi politik,” katanya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

“Namun begitu, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan,” kata Menteri Kewangan di mana kerajaannya mempunyai tiga menteri dari Pas di samping lima timbalan menteri dan seorang duta bertaraf menteri.