Malaysia Dateline

Tiada ruang ekstremisme bertapak di Johor, kata Aminolhuda

Parti AMANAH Negeri Johor menyatakan bahawa negeri itu menolak sebarang fahaman yang berbentuk ekstrimisme bertapak dalam minda masyarakat.

Pengerusi Parti AMANAH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, fahaman berbentuk perkauman dan keagamaan yang melampau adalah bertentangan dengan sifat kemanusiaan yang sentiasa mencintai keamanan.

“New Zealand adalah sebuah negara yang dikenali sebagai negara yang selamat serta sejahtera namun perbuatan segelintir kecil masyarakat yang membawa fahaman ekstrim secara langsung telah mencalarkan nama baik negara tersebut walaupun pelakunya adalah warga asing.

“Adalah suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan apatah lagi sewaktu sesuatu penganut agama sedang melakukan upacara agama mereka hatta di dalam suasana peperangan, dalam ajaran Islam melarang kepada tenteranya menyerang rumah-rumah ibadat agama lain.

“Kita tidak mahu ada masyarakat di negeri ini yang berfahaman seperti itu. Dalam beragama pun kita ada batasan-batasan tertentu yang meletakkan syarat seperti tidak terlalu berlebihan dalam sesuatu perkara.

“Sememangnya Johor hari ini dengan slogan ‘muafakat’ adalah sebagai tanda kesatuan yang jitu dan kita tidak mahu ada di kalangan masyarakat di negeri ini tidak menghormati slogan tersebut,” ujarnya yang merujuk kepada peristiwa tembakan di dua buah masjid di Christchurch pada JUmaat lepas, yang turut mencederakan tiga rakyat Malaysia.

Beliau yang merupakan, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan melahirkan rasa simpati di atas kejadian yang meragut 50 nyawa setakat semalam di New Zealand.