Malaysia Dateline

Tiada rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu, kata GPS

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyangkal dakwaan mengatakan beliau mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dan Parti Pribumi Bersatu baru-baru ini.

Beliau dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan tiada rundingan sedang atau akan berlaku antara GPS dan Bersatu Malaysia berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Sarawak Ke-12 (PRN12) akan datang.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut malah GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN12 yang akan datang.

“Sehubungan itu, saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media, terutamanya Malaysian Dateline yang membuat laporan sedemikian,” ujarnya lagi.

Tambahnya, apa yang berlaku pada sidang media yang diadakan pada 21 Oktober lalu di Kuching baru-baru ini ialah beliau telah ditanya mengenai kerusi Bersatu di Sarawak, iaitu kerusi DUN Krian yang dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Datuk Ali Biju.

Sebagai maklum balas kepada soalan itu jelasnya, beliau hanya menyatakan bahawa kedudukan kerusi Krian akan dibincangkan oleh Parti GPS dan jawapan yang diberikan tidak merujuk kepada mana-mana kerusi DUN yang lain.

“Saya kecewa dengan tidakan segelintir media yang ‘memasukkan kata-kata ke dalam mulut saya’ bagi mensensasikan isu pembahagian kerusi sempena PRN Sarawak ke-12.

“Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak mendapat fakta yang sebenar dan tiada lagi sebarang isu mengenainya yang berbangkit,” katanya.