Tiada sebab Gabungan Ketua Cawangan Umno desak PM letak jawatan, kata Tajuddin

Tiada sebab Gabungan Ketua Cawangan Umno desak PM letak jawatan, kata Tajuddin

Tiada sebab munasabah untuk terus mendesak Datuk Seri Mohd Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta dana RM2.6 bilion telah dijelaskan secara terperinci dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

“Saya anggap itu kerja sia-sia. Atas dasar apa mereka mendesak Najib letak jawatan. Hutang 1MDB telah berkurangan sebanyak RM40.4 bilion hasil daripada pelan rasionalisasi yang dilakukan kerajaan dan isu dana RM2.6 bilion kini dalam siasatan pihak berkuasa.

“Seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku. Sekarang bukan masa ahli UMNO hendak bergaduh antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah di Sekolah Menengah Datuk Maharajalea.

Beliau mengulas tindakan Gabungan Ketua UMNO Cawangan Malaysia (GKCM) diketuai Ketua UMNO Cawangan Taman TKK, Teluk Kemang, Negeri Sembilan Kamarul Azman Habibur yang mahu mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.

Menjelas lanjut, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata sekarang adalah masa yang sesuai untuk anggota UMNO di peringkat akar umbi bersatu padu menyusun gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita mesti mengukuhkan kedudukan, bukan melemah dan meruntuhkan UMNO,” katanya.

“Kemungkinan mereka ini tidak mendapat maklumat yang tepat atau dipengaruhi oleh pihak tertentu yang menyebabkan mereka membentuk satu pemikiran yang negatif kepada Perdana Menteri,” katanya.

 

 

TAGS