Tiada sebab munasabah saya perlu mohon maaf, kata Muhyiddin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tiada sebab munasabah untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak susulan kenyataannya yang dikatakan menyerang keperibadian Presiden Umno.

Muhyiddin menegaskan kenyataannya itu tidak menyalahi dan selari dengan perjuangan Umno kerana tegurannya itu semata-mata mahu parti Melayu itu terus kekal dan diyakini rakyat.

“Saya menyatakan sesuatu yang hak dan benar kerana saya amat cinta kepada Umno dan saya mahu Umno terus kekal diyakini dan dipercayai oleh rakyat.

“Sebab itu bagi saya tiada sebab berpatutan yang memerlukan saya memohon maaf kepada sesiapa dan saya harap ini tidak disalahtafsirkan,” katanya kepada pemberita di lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa masih ada ruang untuk Muhyiddin dan Mohd Shafie memohon maaf kepada parti itu di atas keterlanjuran sikap mereka.

Hishammuddin berkata, ia bergantung kepada Timbalan dan Naib Presiden Umno itu untuk memohon maaf bagi merapatkan semula barisan kepimpinan tertinggi Umno seperti yang disarankan anggota parti.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengingatkan semua pihak agar tidak menyalahtafsirkan kenyataannya khususnya di akaun Facebook beliau.

“Jangan buat apa-apa andaian, saya akan terus hadir sampailah ke penghujung persidangan pada hari ini,” katanya lagi.

TAGS