Malaysia Dateline

Tiada sebab untuk PM letak jawatan kata Timbalan MB Kelantan

Tiada sebab untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata pelantikan jawatan Perdana Menteri akan habis mengikut penggal yang ditetapkan kecuali atas sebab-sebab tertentu termasuk pembubaran Parlimen atau berlaku undi tidak percaya.

“Saya lihat tidak ada sebab untuk Perdana Menteri meletakkan jawatan dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) pun sudah bersetuju selepas dua tahun akan berlaku peralihan kuasa, malah Tun Mahathir sendiri pun sudah beritahu beliau akan tunaikan janjinya (untuk meletakkan jawatan apabila tiba masanya),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ceramah Eksekutif sempena program Jelajah Dakwah Dr Zakir Naik Ke Kelantan 2019 di  Kompleks Kota Darulnaim  pada Khamis.

Beliau diminta mengulas kenyataan media Setiausaha Agung Pas  Datuk Takiyuddin Hassan mengenai kesemua 18 orang Ahli Parlimen Pas tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya kepada Dr Mahathir.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan terdapat gesaan pihak-pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan supaya menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.

Sehubungan itu, Mohd Amar berkata, PAS kekal dengan pendirian bahawa proses peralihan kuasa sepatutnya mengikut prosedur biasa iaitu melalui pilihan raya ataupun apabila ada perkara yang berbangkit.

“Kenapa kena ada undi tidak setuju, baru setahun lebih…kenapa bersungguh sangat mendesak untuk beliau meletakkan jawatan, nampak sangat ada perebutan dalam kalangan pimpinan PH.

“Isu ini jika dibesar-besarkan ia tidak baik untuk negara dan ia seolah-olah menunjukkan kepada masyarakat luar kerajaan dan politik sekarang tidak stabil dan ia boleh menghakis keyakinan pelabur-pelabur luar ke negara ini,” katanya.