Malaysia Dateline

Tiada sebarang himpunan esok, kata Setiausaha Agung PKR

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan, tiada sebarang perhimpunan beramai-ramai semasa majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Beliau berkata, semua anggota PKR diarah untuk tidak berhimpun mahupun berkumpul di mana-mana tempat, terutama di jalan-jalan utama menuju Istana Negara

“Saya juga pohon agar semua rakyat Malaysia bertenang sambil majlis menghadap ini berlangsung, termasuk jika berlaku sebarang proses selepas itu.

“Keadilan mengingatkan semua Ahli-Ahli Parlimen agar terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan isu kebajikan serta nasib rakyat di kala pandemik Covid-19 menular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada esok.

Baginda dimaklumkan telah memperkenankan Anwar untuk menghadap pada Selasa.

Pada majlis menghadap itu nanti, Anwar akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti yang diumumkannya sebelum ini