Tiada semakan semula Bajet 2016 walau harga minyak turun, kata Johari

Tiada semakan semula Bajet 2016 walau harga minyak turun, kata Johari

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Kerajaan tidak berhasrat melakukan sebarang semakan semula terhadap Bajet 2016 pada masa sekarang biarpun berlakunya penurunan harga minyak mentah global, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan akan terus memantau pergerakan harga bahan api itu pada suku pertama tahun depan sebelum membuat sebarang keputusan selanjutnya.

“Sewaktu bajet berkenaan disediakan, harga minyak mentah adalah AS$48 setong dan ia kini turun kepada AS$36 setong.

“Impaknya terhadap pendapatan kerajaan masih lagi memadai dan kita tidak melihat sebarang keperluan untuk melakukan semakan semula bajet itu sekarang,” katanya pada majlis penyampaian cabutan bulanan, mingguan dan tempatan SSP Bank Simpanan Nasional, di Petaling Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sekiranya harga minyak mentah jatuh ke paras di bawah AS$30 setong, kerajaan akan mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan untuk diselaraskan dengan bajet berkenaan.

Selain itu, mengenai kemungkinan melaksanakan langkah pelarasan harga petrol kepada mingguan berbanding bulanan ketika ini, beliau berkata kerajaan bersikap terbuka terhadap cadangan itu selagi ia tidak membebankan rakyat.

Malah, katanya, Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia (PDAM) dijadualkan mengemukakan cadangan mengenai perkara itu kepada kementerian minggu depan untuk dipertimbangkan.

“Kita tidak melihat sebarang masalah melakukan pelarasan secara mingguan tetapi syarikat minyak dan gas serta pihak pengusaha stesen minyak juga perlu tampil (memberi pandangan mereka),” katanya.

Johari berkata, mekanisme pelarasan harga bahan api itu secara mingguan akan menyebabkan pergerakan harga petrol di stesen minyak lebih terarah kepada pasaran semasa dan sebarang perubahannya juga tidak terlalu drastik.

TAGS