Malaysia Dateline

Tiada seorang peserta himpunan bantah ICERD ditangkap

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, kerajaan Pakatan Harapan bersikap terbuka dengan tiada peserta himpunan ICERD baru-baru ini yang ditangkap.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, hal tersebut berbeza dengan reaksi kerajaan sebelum ini yang menyaksikan penangkapan sebelum dan selepas demonstrasi.

“Seorang pun tak kena tangkap, sebelum dan selepas (perhimpunan).

“Kalau dulu (sebelum PRU-14), ada yang masuk lokap, selepas pun masuk lokap. Antaranya, Tian Chua (pemimpin PKR).

“Malah, sebelum saya berdemonstrasi dulu, saya dikawal rakan-rakan,” katanya dalam pidato sempena Konvensyen Nasional AMANAH 2018 di Ipoh hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, perhimpunan tanpa huru-hara dibenarkan meskipun pihak pembangkang dalam perhimpunan anti ICERD mendoakan kehancuran kerajaan.

“Berkumpullah secara aman bahkan kita memberi kawalan walaupun mereka mendoakan Pakatan Harapan pendek umur,” ujarnya lagi dalam konvensyen bertemakan Menggalas Amanah Membina Negara.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Konvensyen Nasional AMANAH kali pertama menjadi komponen parti pemerintah hari ini menyaksikan AMANAH memiliki 162 Kawasan dan 1,264 Cawangan di seluruh negara.

Dalam penggal sulung pentadbiran PH, AMANAH membariskan lima Menteri, lima Timbalan Menteri dan 15 Ahli Parlimen, 3 Senator dan seorang Ketua Menteri.