Malaysia Dateline

Tiada seorang pun pihak kerajaan beri maklum balas Titah Agong, kata Najib

Susulan Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat bagaimanapun sehingga ke hari ini langsung tiada respons daripada pemimpin kerajaan.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan ia amat luar biasa apabila tiada seorang dari pihak kerajaan pernah memberi apa-apa maklum balas kepada titah Yang di-Pertuan Agong sehingga kini.

“Kenapa ya?”soal Najib ringkas di Facebooknya hari ini.

24 Februari baru-baru ini, Agong bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan Istana, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Dengan Titah Agong itu, pembangkang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menghadap Agong bagi menentukan tarikh yang sesuai.