Tiada siapa boleh diamkan saya, kata Muhyidin

Timbalan Presden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Majlis Tertinggi (MT) parti  itu bahawa tiada sesiapa boleh mendiamkannya dalam negara yang bebas merdeka.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Meskipun menghormati keputusan MT semalam yang memutuskan beliau tidak dibenarkan merasmikan persidangan sayap-sayap parti sebagaimana lazimnya, beliau akan terus berbicara menyatakan yang hak.

“Perjuangan saya di dalam Umno bukanlah untuk mempertahankan mana-mana individu, tetapi untuk membela agama, bangsa dan negara yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam facebooknya hari ini.

Mesyuarat MT Umno semalam memutuskan perasmian serentak persidangan sayap-sayap tidak akan dibuat seperti lazimnya.

Sebaliknya, ketua-ketua sayap akan merasmikan persidangan masing-masing.

“Sejak enam tahun yang lalu sebagai timbalan presiden , menyampaikan amanat kepada perwakilan Wanita, Pemua dan Puteri Umno yang datang dari segenap pelusuk negara sentiasa saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Ia adalah ucapan terpenting saya di hadapa para pejuang parti yang melakar harapan serta cita-cita saya agar Umno terus gagah meredah cabaran zaman,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut mendakwa, beliau diberitahu ada pihak tertentu yang cuba menghalangnya daripada memberikan ucapan pada persidangan sayap-sayap parti.

Malah beliau turut mempersoalkan tindakan tersebut sedangkan berucap dan menyampaikan amanat dari timbalan presiden kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah perkara tradisi semasa persidangan agung Umno.

“Saya diberitahu ada pihak-pihak tertentu yang mahu menghalang saya daripada berucap.

“Apalah dosa yang telah saya lakukan terhadap Umno sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada setiap timbalan presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?

“Atau apakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang akan saya ungkapkan di hadapan anak-anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seseorang pemimpin,” katanya.

“Nampaknya saya tidak berpeluang lagi untuk menyampaikan amanat saya dalam satu majlis yang amat bermakna buat saya sebagai timbalan presiden,” katanya.

TAGS